Tuesday, February 8, 2011

RINGGIT - JANGKAAN 1USD=RM3 SUKU PERTAMA 2011

Ringgit Dijangka Cecah 3.00 Berbanding Dolar AS Menjelang Suku Pertama

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Ringgit, yang mencecah paras tinggi baharu dalam tempoh 13 tahun pada 3.0345 dalam urus niaga seharian Isnin, dijangka mencecah 3.00 berbanding dolar AS menjelang suku pertama tahun ini.

Ia disokong oleh spekulasi yang bank-bank pusat Asia mungkin menaikkan kadar faedah bagi mengekang tekanan inflasi dan juga permintaan yang berterusan untuk mata wang tempatan.

"Kami menjangka yang ringgit akan lambat laun mencecah 3.00 berbanding dolar dalam tempoh beberapa minggu ini, mungkin menjelang suku pertama tahun ini. Paras akan datang yang kami jangka dicecah ialah RM3.025," kata seorang peniaga mata wang kepada Bernama di sini Isnin.

Indonesia hari ini menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas sebagai sebahagian daripada usahanya menangani tekanan inflasi.

Menurut UOB Economic Treasury Research, bank-bank pusat Filipina dan Korea Selatan kemungkinan mengumumkan keputusan kadar faedah mereka, masing-masing pada hari Khamis dan Jumaat ini.

Filipina dijangka mengekalkan kadar faedahnya kukuh pada empat peratus sementara Korea Selatan mungkin menaikkan kadar sebanyak 25 mata asas kepada tiga peratus, katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

Sejak bermulanya tahun ini, ringgit telah meningkat 1.3 peratus dan dilaporkan sebagai penyerlahkan prestasi ketiga terbaik di Asia selepas dolar Taiwan dan won Korea Selatan.

Seorang peniaga lain pula berkata yang krisis berpanjangan di Mesir akan terus memberikan impak kepada dolar AS.

Pada penutup hari ini, ringgit mengakhiri urus niaga pada 3.0360/0390 berbanding dolar AS.


RINGGIT - 1USD BERSAMAAN RM3.0360

Ringgit catat rekod

KUALA LUMPUR 7 Feb - Ringgit ditutup pada paras ketinggian terbaharu tempoh 13 tahun pada paras 3.0360 berbanding dolar US hari ini selepas melepasi paras krisis pra ekonomi 1997 3.041 berikutan permintaan komersial yang kukuh mendapatkan mata wang tempatan itu, kata para peniaga.

Sehingga jam 5 petang, ringgit diniagakan pada paras 3.0360/0390 bagi setiap dolar berbanding dengan penutup 3.0420/0450 pada Rabu.Ringgit didagangan mencecah setinggi 3.0345 dan mencatatkan paras terendah harian 3.0430.

Seorang peniaga memberitahu Bernama bahawa jualan besar-besaran dolar US berikutan sentimen lemah telah mengubah sesetengah minat para pelabur asing untuk membeli lebih banyak mata wang asing Asia, yang termasuk ringgit serta aset yang berisiko.

Seorang peniaga berkata dolar US kemungkinan berhadapan tekanan lebih lanjut jika krisis di Egypt, yang dilihat sebagai sekutu AS terkuat di dunia Arab, berterusan. Ringgit juga dicatatkan lebih kukuh berbanding mata wang utama yang lain.

Ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding dolar Singapura kepada 2.3799/3841 berbanding dengan 2.3898/3926 pada Rabu dan meningkat berbanding yen kepada 3.6863/6908 daripada 3.7366/7408 sebelum ini.

Ia meningkat berbanding pound British kepada 4.9077/9135 daripada 4.9238/9289 dan meningkat berbanding euro kepada 4.1320/1367 daripada 4.2074/2127.


GETAH - GAJI PENOREH GETAH LAGI TINGGI DARI STAF KERAJAAN..

Penoreh raih RM8,000 sebulan

KUALA TERENGGANU - Dengan hanya bekerja tiga hari seminggu, seorang penoreh getah di negara ini mampu meraih pendapatan di antara RM3,000 hingga RM8,000 sebulan.

Malah, kebanyakan penoreh getah yang ditemui mengakui pendapatan mereka sejak kebelakangan ini jauh lebih besar berbanding gaji sesetengah kakitangan kerajaan.

Seorang penoreh, Wan Alias Wan Muda, 37, dari Felda Belara dekat sini berkata, cuaca yang baik sejak sebulan lalu memberi peluang kepada penoreh getah sepertinya untuk meraih pendapatan tiga kali ganda lebih banyak berbanding sebelum ini.

Menurutnya, dengan harga getah di pasaran mencecah sehingga RM8 sekilogram, dia mampu meraih pendapatan bersih kira-kira RM3,500 sebulan.

"Kalau orang nak tanya berapa pendapatan saya sebulan, saya hanya boleh jawab pendapatan saya lebih besar daripada guru," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Saturday, February 5, 2011

MINYAK SAWIT - HARGA DIJANGKA MENCECAH RM4000 SATU TAN

Minyak masak jadi rebutan negara baru muncul

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Minyak masak dijangka menjadi sasaran negara-negara baru muncul bagi pembelian secara besar-besaran, sekali gus mencetuskan fenomena kenaikan harga barangan dunia.

Peningkatan minyak sawit menyaksikan jumlah penggunaan dunia mengatasi pengeluaran, melepasi defisit bekalan 246,000 tan, mengikut data Jabatan Pertanian Amerika Syarikat.

Senario itu melonjakkan penanda aras niaga hadapan sawit yang meningkat pada kadar tertinggi dalam tempoh tiga tahun dan dijangka mencecah RM4,000 setan tidak lama lagi.

''Kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM) adalah benar. Pertambahan ini seiring dengan kenaikan beras dan harga makanan lain,'' menurut Leonardo Gavaza, penganalisis Bahana Securities.

Malah, tambah beliau, demonstrasi di Mesir akan membuatkan negara-negara lain berfikir untuk membeli semua komoditi secara terus, untuk mengekalkan inflasi masing-masing.

Kerajaan Indonesia telah meminta syarikat-syarikat perladangannya meningkatkan pengeluaran.

Harga makanan global mencatatkan rekod tertinggi pada Januari, menurut Organisasi Pertanian, Makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, sambil menambah, harga semasa sudah melepasi kedudukan pada 2008.

Kebimbangan kekangan terhadap bekalan makanan terutama minyak masak terus meningkat ekoran beberapa kejadian banjir di Malaysia, pengeluar kedua terbesar minyak sawit di dunia.

Pada masa yang sama, Thailand pula mengumumkan untuk membeli 120,000 tan MSM bagi meningkatkan kekurangan bekalan minyak masak.

''Permintaan-permintaan berasakan makanan, bukan minyak atau spekulasi mula meningkat sejak 2008,'' menurut penganalisis minyak sawit, yang merujuk kepada peningkatan permintaan bagi minyak sayuran yang merekodkan harga RM4,486 setiap tan bersama dengan komoditi lain. - REUTERS

RINGGIT - NILAI RM DIJANGKA MEROSOT HUJUNG TAHUN 2011

Nilai ringgit merosot akhir tahun

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Pengukuhan nilai Ringgit sejak akhir-akhir ini dijangka merosot menjelang hujung tahun 2011 apabila ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lembap sepanjang dua tahun lalu mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan.

Ringgit baru-baru ini mencatat rekod terbaik untuk tempoh 13 tahun apabila mengukuh sebanyak RM3.042 berbanding satu dolar AS.

Menurut Ketua Bahagian Ekuiti Hwang DBS Investment Management Bhd., Gan Eng Peng, prestasi positif itu bakal 'dirosakkan' apabila ekonomi Amerika menunjukkan pengukuhan hasil bantuan sektor eksport yang berkembang didorong kelemahan dolar.

"Petunjuk positif ini walaupun kecil dijangka berjaya menarik pelaburan kembali ke Amerika.

"Tambahan pula dengan keputusan Bank Negara yang tidak menaikkan kadar faedah secara agresif tahun ini seperti mana yang dilakukan pada 2010 akan memburukkan lagi sentimen terhadap ringgit, " katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Namun begitu, Eng Peng percaya mata wang tempatan itu masih mampu untuk terus mengukuh berbanding Euro tahun ini didorong oleh krisis ekonomi di Eropah dan program menyelamat (bailout) daripada kerajaan.

Manakala bagi ekonomi tempatan, Eng Peng menjangkakan prestasi positif yang dicatat tahun lalu akan berterusan pada 2011 didorong dasar monetari yang kekal menyokong pertumbuhan ekonomi selain asas ekonomi negara yang kukuh.

Katanya, ini termasuk kecairan yang cukup tinggi dalam sistem ditambah dengan kepercayaan terhadap pemulihan sebenar ekonomi global dan penilaian positif terhadap aktiviti penggabungan dan pengambilan alih (M&A).

"Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang berkembang mendapat manfaat daripada aliran keluar dana daripada negara-negara yang sedang bergelut dengan isu inflasi seperti China, India dan Indonesia, " katanya.

Jelas Eng Peng, kadar inflasi di Malaysia yang berada antara dua hingga tiga peratus adalah stabil dan berada di kedudukan paling rendah di kalangan negara-negara membangun.

Katanya, situasi sekarang adalah kombinasi daripada aliran masuk asing jangka pendek dan jangka panjang serta pelabur runcit tempatan yang kembali semula ke dalam pasaran.

Katanya, aliran ini akan berterusan sehingga awal tahun 2011 didorong oleh kadar faedah yang rendah dan pertumbuhan lemah di kalangan negara-negara maju.

"Malaysia adalah salah satu ekonomi yang sedang berkembang yang disarankan oleh firma penyelidikan antarabangsa sebagai destinasi pelaburan saham pilihan berbanding lain-lain pasaran di Asia Pasifik, " katanya.

Namun begitu, menurut Eng Peng, cerita kejayaan Malaysia pastinya turut disumbang oleh Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) jika ia mampu dilaksanakan dengan baik.

"Masyarakat pelaburan percaya ini adalah sesuatu yang berbeza dan jika pelan ini berjaya dilaksanakan dengan sempurna ia akan memberi manfaat kepada sektor-sektor utama seperti, minyak, gas dan pembinaan, "katanya.

Tambah beliau lagi, rangsangan seperti itu akan terus memacu aliran masuk pelaburan asing yang terus mencari-cari 'cerita-cerita' menarik bagi pertumbuhan jangka masa panjang di negara ini.

Thursday, February 3, 2011

SAHAM - BELI SAHAM PUBLIC BANK SEKARANG

OSK Kekalkan Saranan 'Beli' Terhadap Saham Public Bank

KUALA LUMPUR, 2 Feb (Bernama) -- OSK Investment Research mengekalkan saranan "beli" terhadap saham Public Bank Bhd apabila pulangan pada ekuitinya (ROE) telah dinaikkan secara marginal kepada 26.3 peratus daripada 26 peratus dan harga sasaran daripada RM14.20 kepada RM14.40.

Dalam satu nota penyelidikannya pada Rabu, OSK berkata potensi peningkatan sasaran ROE pada jangka sederhana berasaskan strategi yang lebih fokus di dalam mengembangkan barisan perniagaan pendapatan fi ROE yang lebih tinggi, boleh menjadi sebagai satu pemangkin penarafan semula bagi bank itu.

"Keputusan tahun kewangan 2010 kumpulan itu disatukan dengan anggaran tahun sepenuhnya tetapi agak ke hadapan sedikit daripada konsensus. Ia mewakili unjuran konsensus kami dan konsensus tahun sepenuhnya masing-masing sebanyak 99.6 peratus dan 104.8 peratus.

"Keputusan itu boleh dipuji kerana kumpulan itu terus mencatatkan di atas kadar pertumbuhan industri.

"Ini diterjemahkan kepada penambahbaikan sumbangan satu transkrip dalam ROE dalam rekod 27.1 peratus, walau pun berikutan lanskap perbankan domestik berdaya saing, yang memberikan tekanan besar ke atas keseluruhan penghasilan pinjaman peruncitan dan tekanan menarik kadar faedah deposit secara umumnya," katanya.

Syarikat penyelidikan itu juga telah menaikkan unjuran pendapatan tahun kewangan 2011 dan 2012 masing-masing sebanyak 2.9 peratus dan 3.7 peratus, dengan mengambil kira pertumbuhan pendapatan berasaskan fi yang lebih kukuh dari perniagaan bancassuarance bank itu.


RINGGIT - SASARAN 2011 - RM3 BERBANDING US DOLLAR

Ringgit Tiada Kemungkinan Berpatah Balik Ke Tahap Pra-1997 Dalam Jangka Terdekat

KUALA LUMPUR, 2 Feb (Bernama) -- Peningkatan ringgit berbanding dolar AS secara beransur-ansur dijangka berterusan tahun ini tetapi kemungkinan mata wang Malaysia itu kembali ke paras sebelum krisis kewangan Asia pada tahun-tahun 1997/98 pada kira-kira 2.50 dalam jangka terdekat ini adalah tipis.

"Kita ada sasaran akhir tahun pada paras 3.0 ringgit berbanding dolar AS tetapi ia mungkin berlegar pada sekitar 3.15 dalam suku kedua berikutan kelemahan keseluruhan mata wang Asia," kata Ketua Pertukaran Mata Wang Asia dan Strategi Pendapatan Tetap Merril Lynch Bank of America, Claudio Piron.

Beliau mengingatkan bahawa risiko kemungkiran pembayaran bon oleh kerajaan di Eropah dan pemberhentian pusingan kedua pelonggaran dasar kewangan oleh AS boleh menjadi penghalang kepada kepesatan ini.

Dalam wawancara dengan Bernama, beliau berkata: "Memang bukan rahsia lagi bahawa pasaran sedang berkembang di Asia begitu popular di kalangan pelabur-pelabur antarabangsa sejak tahun lepas, dan berikutan itu, rantau ini menerima banyak pengaliran masuk dana.

"Dan ada risiko berlaku sedikit pengaliran keluar dalam suku kedua," katanya.

Justeru itu, ringgit dijangka susut sedikit dalam suku kedua sebelum mengukuh ke paras 3.0 menjelang akhir tahun, katanya sambil menambah bahawa unit tempatan itu kini diberikan nilai 2.2 peratus lebih tinggi.

Sejak permulaan tahun ini, unit tempatan itu meningkat kira-kira 1.28 peratus manakala won Korea 1.9 peratus dan dolar Taiwan 4.04 peratus.

Tahun lepas, ringgit melonjak 12 peratus berbanding mata wang Amerika itu.

Menurut Piron ringgit tiada kemungkinan mencapai paras sebelum krisis kewangan Asia 1997/98 dalam jangka terdekat ini, tetapi ini boleh berlaku dalam masa tiga hingga loma tahun.

Bagi mata wang itu mengukuh begitu banyak dalam masa 12 hingga 18 bulan akan datang, katanya, perlu ada krisis fundamental dalam pasaran-pasaran maju dan kemungkiran pembayaran bon kerajaan di Eropah, tetapi kemungkinan senario sedemikian wujud amat tipis, kerana situasi hutang di AS masih berada pada tahap terkawal.

"Dalam 12 bulan kebelakangan ini, kita telah melihat begitu banyak rancangan dibuat. Kita ada segala strategi yang boleh difikirkan," katanya menjawab soalan sama ada pasaran boleh mengalami semula kelembapan kewangan pada 2008.

Mengenai inflasi, beliau berkata seperti biasa, bank-bank pusat Asia berada di belakang keluk (lewat). Bagaimanapun, ini tidak bererti tidak baik, kerana situasi itu sebahagiannya disebabkan oleh inflasi eksogen dan tidak semestinya disebabkan oleh permintaan dalam Asia.

"Bank-bank pusat Asia cenderung berada di belakang keluk kerana bank-bank ini tidak mewujudkannya. Jadi, apa yang boleh dilakukan tentang itu? Adakah kita menaikkan kadar faedah untuk menangani kenaikan harga makanan disebabkan oleh faktor cuaca dan perubahan keutamaan kerana pendapatan yang semakin meningkat? Inilah sesuatu yang perlu Asia hadapi," katanya.

Di kalangan semua bank pusat, Bank Negara Malaysia (BNM) merupakan bank pusat yang paling proaktif di rantau ini.

"Saya rasa BNM unik sebab ia menggunakan pertukaran asing dan kadar faedah untuk mengembalikan dasar kepada keadaan biasa. Kita menjangkakan BNM menaikkan kadar sebanyak 50 mata asas lagi tahun ini," katanya.

Minggu lepas, BNM mengekalkan kadar dasar semalaman pada 2.75 peratus disebabkan oleh tahap inflasi yang rendah dan kekurangan bukti tentang lebihan permintaan memberi tekanan kepada harga.

Bagaimanapun, bank pusat itu membayangkan penggunaan alat dasar tambahan seperti keperluan rizab berkanun dan langkah-langkah pemberian pinjaman makroprudential, untuk mengelak risiko ketidakseimbangan makroekonomi dan kewangan.

Bank Negara Malaysia menaikkan kadar faedah sebanyak tiga kali dalam tempoh di antara Mac dengan Julai 2010 bagi membendung tekanan harga.