Wednesday, February 2, 2011

EKONOMI - HALA TUJU DUNIA KE ARAH PEMULIHAN EKONOMI SEJAGAT

Dua bahaya ketidakseimbangan

SINGAPURA 1 Feb. - Ketidakseimbangan sejagat yang berlaku merentasi negara-negara dunia dikhuatiri menyebabkan pemulihan ekonomi global menjadi rapuh.

Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa, Dominique Strauss-Kahn memberi amaran bahawa kebimbangan itu akan meningkatkan perlindungan sosial dan ketidakstabilan politik dan boleh mengakibatkan peperangan.

''Pemulihan ekonomi masih dalam proses dan ia bukanlah pemulihan seperti yang dijangkakan,'' katanya dalam syarahan awam di Singapura di sini hari ini.

Beliau menyifatkan pemulihan yang disebabkan oleh ketegangan akan menyebabkan krisis lain berlaku.

''Saya melihat tentang dua bahaya ketidakseimbangan,'' tambah beliau.

Jelas Strauss-Kahn, dua peringkat berbeza pemulihan ekonomi antara negara-negara maju dan negara-negara baru muncul adalah ketidakseimbangan dan ia sudah berlaku sebelum krisis ekonomi pada penghujung 2008.

''Memandangkan pertumbuhan ekonomi negara-negara maju masih berada di bawah potensi, negara-negara baru muncul dan membangun tumbuh dengan pantas - sebahagian akan melepasi jangkaan,'' ujarnya.

Pertumbuhan dalam ekonomi seperti China dan Jerman masih dikuasai oleh eksport manakala Amerika Syarikat pula dipacu oleh permintaan domestik.

Strauss-Kahn menambah, ketidakseimbangan global telah menyebabkan kestabilan pemulihan berada dalam risiko.

Risiko kedua pula ialah ketidakseimbangan keadaan di kalangan negara-negara, seperti pertumbuhan pengangguran dan jurang pertumbuhan pendapatan.

Sebagai contoh, katanya, kadar pengangguran masih kukuh di Tunisia dan peningkatan masalah sosial di negara-negara lain.

Pada bulan lalu, Tunisia berhadapan dengan pemberontakan menentang pemerintahan Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali sehingga berjaya menjatuhkan beliau.

Hari ini, Mesir pula mengalami masalah yang sama apabila rakyatnya mahu pemerintahan Presiden Hosni Mubarak selama 30 tahun berakhir.

''Apabila lebih banyak ketegangan antara negara meningkat, kita akan melihat peningkatan perlindungan dalam perdagangan dan kewangan.

''Peningkatan ketegangan antara negara, bakal menambah ketidakstabilan sosial dan politik di kalangan negara-negara termasuk peperangan,'' tambah Strauss-Kahn. - Agensi

No comments:

Post a Comment