Thursday, February 10, 2011

SAHAM - ECM LIBRA 'HOLD' SAHAM TM, 'BELI' SAHAM AXIATA

TM Agresif Daftar Lebih Banyak Pelanggan Unifi, Kata ECM Libra

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Telekom Malaysia (TM) semakin agresif dalam usahanya untuk menarik lebih banyak pelanggan Unifi seperti yang terbukti melalui tawaran langganan sebulan percuma kepada pelangan baharu yang mendaftar secara online dan pengecualian bayaran pemasangan bernilai RM200.

Dalam satu nota penyelidikan pada Rabu, ECM Libra berkata ia menganggap ini sebagai langkah proaktif oleh TM untuk mendapatkan lebih banyak pelanggan sebelum persaingan dalam ruang jalur lebar tetap semakin sengit dengan penyertaan Maxis tidak lama lagi.

ECM Libra juga berkata meskipun TM mempunyai sekurang-kurangnya setahun untuk mendahului pesaing-pesaingnya, ia percaya beberapa pelanggan berpotensi baharu mungkin mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum membuat keputusan sama ada memilih Unifi TM atau perkhidmatan jalur lebar tetap Maxis.

"Tempoh kontrak yang panjang selama 24 bulan bagi pelanggan Unifi mungkin juga mematahkan semangat pelanggan baharu untuk tergesa-gesa mendaftar, terutamanya memandangkan Maxis akan melancarkan perkhidmatannya tidak lama lagi.

"Oleh kerana harga saham TM telah mencapai harga sasaran RM3.80 kami, kami menurunkan saranan kami kepada 'hold' kerana kami percaya harga semasa telah mengambil kira jangkaan dividen khas dalam suku keempat tahun kewangan 2010.

"Kami mencadangkan kepada pelabur supaya beralih kepada Axiata yang merupakan pilihan utama kami dalam sektor telekomunikasi kerana ia menampakkan pertumbuhan pendapatan yang lebih tinggi di samping diniagakan pada nilaian yang rendah," katanya.


No comments:

Post a Comment