Saturday, February 5, 2011

RINGGIT - NILAI RM DIJANGKA MEROSOT HUJUNG TAHUN 2011

Nilai ringgit merosot akhir tahun

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Pengukuhan nilai Ringgit sejak akhir-akhir ini dijangka merosot menjelang hujung tahun 2011 apabila ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lembap sepanjang dua tahun lalu mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan.

Ringgit baru-baru ini mencatat rekod terbaik untuk tempoh 13 tahun apabila mengukuh sebanyak RM3.042 berbanding satu dolar AS.

Menurut Ketua Bahagian Ekuiti Hwang DBS Investment Management Bhd., Gan Eng Peng, prestasi positif itu bakal 'dirosakkan' apabila ekonomi Amerika menunjukkan pengukuhan hasil bantuan sektor eksport yang berkembang didorong kelemahan dolar.

"Petunjuk positif ini walaupun kecil dijangka berjaya menarik pelaburan kembali ke Amerika.

"Tambahan pula dengan keputusan Bank Negara yang tidak menaikkan kadar faedah secara agresif tahun ini seperti mana yang dilakukan pada 2010 akan memburukkan lagi sentimen terhadap ringgit, " katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Namun begitu, Eng Peng percaya mata wang tempatan itu masih mampu untuk terus mengukuh berbanding Euro tahun ini didorong oleh krisis ekonomi di Eropah dan program menyelamat (bailout) daripada kerajaan.

Manakala bagi ekonomi tempatan, Eng Peng menjangkakan prestasi positif yang dicatat tahun lalu akan berterusan pada 2011 didorong dasar monetari yang kekal menyokong pertumbuhan ekonomi selain asas ekonomi negara yang kukuh.

Katanya, ini termasuk kecairan yang cukup tinggi dalam sistem ditambah dengan kepercayaan terhadap pemulihan sebenar ekonomi global dan penilaian positif terhadap aktiviti penggabungan dan pengambilan alih (M&A).

"Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang berkembang mendapat manfaat daripada aliran keluar dana daripada negara-negara yang sedang bergelut dengan isu inflasi seperti China, India dan Indonesia, " katanya.

Jelas Eng Peng, kadar inflasi di Malaysia yang berada antara dua hingga tiga peratus adalah stabil dan berada di kedudukan paling rendah di kalangan negara-negara membangun.

Katanya, situasi sekarang adalah kombinasi daripada aliran masuk asing jangka pendek dan jangka panjang serta pelabur runcit tempatan yang kembali semula ke dalam pasaran.

Katanya, aliran ini akan berterusan sehingga awal tahun 2011 didorong oleh kadar faedah yang rendah dan pertumbuhan lemah di kalangan negara-negara maju.

"Malaysia adalah salah satu ekonomi yang sedang berkembang yang disarankan oleh firma penyelidikan antarabangsa sebagai destinasi pelaburan saham pilihan berbanding lain-lain pasaran di Asia Pasifik, " katanya.

Namun begitu, menurut Eng Peng, cerita kejayaan Malaysia pastinya turut disumbang oleh Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) jika ia mampu dilaksanakan dengan baik.

"Masyarakat pelaburan percaya ini adalah sesuatu yang berbeza dan jika pelan ini berjaya dilaksanakan dengan sempurna ia akan memberi manfaat kepada sektor-sektor utama seperti, minyak, gas dan pembinaan, "katanya.

Tambah beliau lagi, rangsangan seperti itu akan terus memacu aliran masuk pelaburan asing yang terus mencari-cari 'cerita-cerita' menarik bagi pertumbuhan jangka masa panjang di negara ini.

No comments:

Post a Comment