Wednesday, February 9, 2011

PETROLEUM - CADANGAN HARGA MINYAK RON97 IKUT HARGA PASARAN SEMASA

Harga minyak lebih bebas?

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Kerajaan bersedia mengubah mekanisme penentuan harga minyak petrol RON97 kepada apungan bebas sekiranya wakil-wakil penjual minyak tempatan mahu melaksanakannya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pada masa sekarang penentuan harga RON97 ditentukan secara apungan terkawal, yang mana pengiraannya dibuat mulai 1 hingga 27 hari bulan bagi setiap bulan.

Sebagai contoh, beliau berkata, kenaikan harga RON97 pada awal Februari ini dibuat berdasarkan kenaikan harga pasaran minyak dunia pada Januari lalu.

''Penentuan kenaikan harga RON97 baru-baru ini dibuat selepas kita memantau pergerakan harga minyak global mulai 1 Januari hingga 27 Januari lalu.

''Dalam pemantauan tersebut, kita mendapati secara purata berlaku trend kenaikan dan sebab itu RON97 dinaikkan,'' katanya semasa sidang akhbar selepas merasmikan pelancaran kad debit-iBank Rakyat di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata demikian ketika ditanya mengenai kenaikan harga RON97 sedangkan pada masa sama harga minyak petrol Brent sudah mula menyusut.

Harga minyak Brent sekarang pada sekitar AS$99.22 (RM302.62) setong, lebih rendah berbanding RM105 (RM320) setong pada akhir bulan lalu.

Beliau menjelaskan, memandangkan RON97 diukur mengikut pasaran dunia, harga minyak itu akan diturunkan sekiranya harga minyak kembali stabil.

''Harga RON97 akan dinaikkan jika harga minyak dunia meningkat dan kalau harga turun, kerajaan akan menurunkannya,'' tambah beliau.

Setakat hari ini, Ismail Sabri berkata, penentuan RON97 akan dibuat secara bulanan.

Beliau berkata, di luar negara penentuan harga minyak petrol itu dibuat secara harian (apungan bebas) dan oleh sebab itu harga minyak di negara terbabit berubah setiap hari.

''Kalau wakil penjual mahu menjual seperti itu, kita bersedia mengubahnya.

''Bagaimanapun, bagi kerajaan penentuan secara bulanan lebih mudah,'' ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau menafikan dakwaan kenaikan harga makanan di Malaysia disebabkan pelaksanaan pengurangan subsidi seperti yang dicetuskan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu).

Sebaliknya, Ismail Sabri berkata, masalah kenaikan harga barangan makanan disebabkan oleh peningkatan permintaan berbanding penawaran.

''Masalah ini bukan masalah Malaysia sahaja tetapi dunia turut menanggungnya.

''Ia disebabkan malapetaka berlaku di mana-mana sahaja menyebabkan pengeluaran makanan semakin terhad,'' ujar beliau.

Malah, beliau turut mengaitkan kenaikan harga barangan makanan disebabkan ketidakseimbangan pertumbuhan antara pengeluaran hasil dengan populasi penduduk dunia.

Katanya, pertumbuhan pengeluaran makanan hanya dua peratus tetapi pertambahan penduduk pula empat peratus.

No comments:

Post a Comment