Thursday, February 3, 2011

RINGGIT - SASARAN 2011 - RM3 BERBANDING US DOLLAR

Ringgit Tiada Kemungkinan Berpatah Balik Ke Tahap Pra-1997 Dalam Jangka Terdekat

KUALA LUMPUR, 2 Feb (Bernama) -- Peningkatan ringgit berbanding dolar AS secara beransur-ansur dijangka berterusan tahun ini tetapi kemungkinan mata wang Malaysia itu kembali ke paras sebelum krisis kewangan Asia pada tahun-tahun 1997/98 pada kira-kira 2.50 dalam jangka terdekat ini adalah tipis.

"Kita ada sasaran akhir tahun pada paras 3.0 ringgit berbanding dolar AS tetapi ia mungkin berlegar pada sekitar 3.15 dalam suku kedua berikutan kelemahan keseluruhan mata wang Asia," kata Ketua Pertukaran Mata Wang Asia dan Strategi Pendapatan Tetap Merril Lynch Bank of America, Claudio Piron.

Beliau mengingatkan bahawa risiko kemungkiran pembayaran bon oleh kerajaan di Eropah dan pemberhentian pusingan kedua pelonggaran dasar kewangan oleh AS boleh menjadi penghalang kepada kepesatan ini.

Dalam wawancara dengan Bernama, beliau berkata: "Memang bukan rahsia lagi bahawa pasaran sedang berkembang di Asia begitu popular di kalangan pelabur-pelabur antarabangsa sejak tahun lepas, dan berikutan itu, rantau ini menerima banyak pengaliran masuk dana.

"Dan ada risiko berlaku sedikit pengaliran keluar dalam suku kedua," katanya.

Justeru itu, ringgit dijangka susut sedikit dalam suku kedua sebelum mengukuh ke paras 3.0 menjelang akhir tahun, katanya sambil menambah bahawa unit tempatan itu kini diberikan nilai 2.2 peratus lebih tinggi.

Sejak permulaan tahun ini, unit tempatan itu meningkat kira-kira 1.28 peratus manakala won Korea 1.9 peratus dan dolar Taiwan 4.04 peratus.

Tahun lepas, ringgit melonjak 12 peratus berbanding mata wang Amerika itu.

Menurut Piron ringgit tiada kemungkinan mencapai paras sebelum krisis kewangan Asia 1997/98 dalam jangka terdekat ini, tetapi ini boleh berlaku dalam masa tiga hingga loma tahun.

Bagi mata wang itu mengukuh begitu banyak dalam masa 12 hingga 18 bulan akan datang, katanya, perlu ada krisis fundamental dalam pasaran-pasaran maju dan kemungkiran pembayaran bon kerajaan di Eropah, tetapi kemungkinan senario sedemikian wujud amat tipis, kerana situasi hutang di AS masih berada pada tahap terkawal.

"Dalam 12 bulan kebelakangan ini, kita telah melihat begitu banyak rancangan dibuat. Kita ada segala strategi yang boleh difikirkan," katanya menjawab soalan sama ada pasaran boleh mengalami semula kelembapan kewangan pada 2008.

Mengenai inflasi, beliau berkata seperti biasa, bank-bank pusat Asia berada di belakang keluk (lewat). Bagaimanapun, ini tidak bererti tidak baik, kerana situasi itu sebahagiannya disebabkan oleh inflasi eksogen dan tidak semestinya disebabkan oleh permintaan dalam Asia.

"Bank-bank pusat Asia cenderung berada di belakang keluk kerana bank-bank ini tidak mewujudkannya. Jadi, apa yang boleh dilakukan tentang itu? Adakah kita menaikkan kadar faedah untuk menangani kenaikan harga makanan disebabkan oleh faktor cuaca dan perubahan keutamaan kerana pendapatan yang semakin meningkat? Inilah sesuatu yang perlu Asia hadapi," katanya.

Di kalangan semua bank pusat, Bank Negara Malaysia (BNM) merupakan bank pusat yang paling proaktif di rantau ini.

"Saya rasa BNM unik sebab ia menggunakan pertukaran asing dan kadar faedah untuk mengembalikan dasar kepada keadaan biasa. Kita menjangkakan BNM menaikkan kadar sebanyak 50 mata asas lagi tahun ini," katanya.

Minggu lepas, BNM mengekalkan kadar dasar semalaman pada 2.75 peratus disebabkan oleh tahap inflasi yang rendah dan kekurangan bukti tentang lebihan permintaan memberi tekanan kepada harga.

Bagaimanapun, bank pusat itu membayangkan penggunaan alat dasar tambahan seperti keperluan rizab berkanun dan langkah-langkah pemberian pinjaman makroprudential, untuk mengelak risiko ketidakseimbangan makroekonomi dan kewangan.

Bank Negara Malaysia menaikkan kadar faedah sebanyak tiga kali dalam tempoh di antara Mac dengan Julai 2010 bagi membendung tekanan harga.

No comments:

Post a Comment