Wednesday, February 2, 2011

KERJAYA - PROSPEK PEKERJAAN DI MALAYSIA UNTUK TAHUN 2011 DIJANGKA CERAH

Lebih banyak pekerjaan tahun ini

KUALA LUMPUR 1 Feb. – Kelly Services (M) Sdn. Bhd. (Kelly Malaysia) menjangkakan tahun ini menjanjikan peluang-peluang pekerjaan kepada pekerja mahir dan graduan baru ekoran lonjakan beberapa sektor ekonomi.

Antaranya, industri teknologi dan maklumat (ICT), minyak dan gas, hospitaliti dan pelancongan, perbankan Islam, teknologi sesawang, penjagaan kesihatan dan sains hayat, kemahiran pengurusan alam sekitar serta pembangunan kejuruteraan dan elektronik.

Firma penyelesaian pekerjaan itu berkata, pasaran pekerjaan di Malaysia kekal kompetitif memandangkan sektor perniagaan kembali berada di momentum.

Bagaimanapun, Kelly Malaysia tidak menolak fokus pekerjaan adalah dalam sektor-sektor memacu ke arah insentif pengetahuan, selari dengan hala tuju negara untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi.

Pengarah Urusan Kelly Malaysia, Melissa Norman berkata, kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif dijangka mengurangkan penghijrahan bakat-bakat Malaysia ke luar negara.

Menurut beliau, perkembangan pantas masyarakat yang dipacu oleh komputer dan teknologi, dijangka meningkatkan pertumbuhan industri ICT.

Dengan pertumbuhan itu, permintaan bagi modal insan yang membabitkan keselamatan rangkaian kepada multimedia kreatif akan bertambah popular.

‘‘Sebagai sebuah pasaran baru muncul, kami melihat ia akan meningkatkan permintaan bagi pasaran tertentu,’’ ujar Norman.

Tambah beliau, Indeks Kakitangan Global Kelly turut memberi petunjuk bagi meningkatkan kesetiaan pekerja, organisasi perlu kekal fokus kepada pengurusan bakat melalui latihan, pembangunan, meningkatkan kemahiran dan mentakrifkan peranan kakitangan.

Melissa berkata, sektor korporat kini mengiktiraf kepentingan prestasi berasaskan laporan dan menawarkan peningkatan dan bonus untuk mengekalkan bakat-bakat yang ada.

‘‘Kebanyakan organisasi mempunyai kepelbagaian kakitangan dan Sumber Manusia perlu mempunyai perancangan bagi menggantikan kakitangan bersara dan menyeimbangkan pemindahan kemahiran dan membawa pekerja baru dalam organisasi,’’ kata beliau.

Ia penting untuk memastikan syarikat dan kakitangan memiliki kesepadanan latihan, kemahiran dan program pemantauan bagi pertumbuhan kepada organisasi dan menyediakan kepimpinan kedua.

No comments:

Post a Comment