Thursday, February 10, 2011

RINGGIT - ALL EYES TO CHINA'S ECONOMY

China naikkan kadar yuan ke paras tertinggi

SINGAPURA 9 Feb. - Bank Pusat China telah menetapkan kadar pertukaran mata wang yuan pada paras tertinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) selepas beberapa jam menaikkan kadar faedah bagi meredakan peningkatan ekonomi negara itu.

Kenaikan kadar faedah itu dijangka diikuti oleh pihak berkuasa lain di Asia untuk mengurangkan tekanan inflasi yang tinggi.

Bank Pusat di Korea Selatan dan Malaysia, sekali lagi menjual mata wang masing-masing untuk membeli dolar dalam usaha mengurangkan kenaikan nilai mata wang tempatan secara terlalu mendadak, kata para peniaga.

Menurut mereka, langkah itu dibuat secara teliti supaya tidak menjejaskan kegiatan eksport barangan perdagangan masing-masing yang penting kepada pertumbuhan ekonomi serantau.

The People Bank of China (PBOC) telah menetapkan kadar setara bagi dolar kepada CNY6.5850, lebih rendah berbanding CNY6.5938 bagi pasaran di kaunter dan penetapan kadar pada CNY6.5860.

Pasaran China telah tutup sejak sambutan Tahun Baru Cina.

Mata wang yuan kini meningkat sebanyak 3.7 peratus sejak berakhirnya tambatan mata wang China itu berbanding dolar sejak dua tahun lalu pada pertengahan Jun lalu.

Mata wang-mata wang Asia lain, mencatatkan keuntungan yang sederhana tahun ini telah mencatatkan kenaikan hari ini.

China kini memainkan peranan besar dalam ekonomi serantau dan Asia sedang melihat polisi pertukaran asing untuk memastikan mata wang mereka tidak meningkat secara mendadak kerana akan mengakibatkan pengeksport menjadi tidak kompetitif.

Mata wang dolar susut berbanding dolar Taiwan dalam tempoh 13 tahun dan jatuh berbanding baht Thai. Ia juga rendah berbanding won Korea walaupun Bank of Korea dikatakan telah membeli dolar.

Berbanding ringgit Malaysia, mata wang AS mencatat kestabilan semalam apabila ditutup pada kadar RM3.0330 setelah dikatakan disokong oleh Bank Negara Malaysia.

''Kenaikan kadar faedah oleh China sepatutnya baik untuk mata wang Asia tetapi ringgit tidak naik kerana BNM menetapkan kedudukan ringgit pada RM3.0330,'' kata seorang peniaga.

PBOC meningkatkan kadar pinjaman dan deposit dengan 25 mata asas semalam, masing-masing kepada 6.06 peratus dan 3.0 peratus. Ia merupakan kenaikan ketiga sejak Oktober.

Ia juga meningkatkan nisbah deposit yang menyebabkan bank-bank perlu menyimpan rizab sebanyak tujuh kali.

Kadar inflasi meningkat di rantau ini disebabkan oleh pertumbuhan pantas ekonomi dan kenaikan harga makanan dan komoditi.

Di China, harga pengguna juga dijangka meningkat pada suku pertama oleh permintaan kukuh pada hari cuti dan cuaca buruk.

PBOC telah menetapkan kadar setara harian bagi yuan, membolehkan pengurusan mata wang tempatan meningkat kepada 0.5 peratus atau sebaliknya. Yuan/ringgit dan yuan/ruble boleh meningkat sehingga lima peratus dan mata wang-mata wang lain lain dibenarkan naik sehingga tiga peratus. -Dowjones

No comments:

Post a Comment