Wednesday, February 9, 2011

RINGGIT - BANK NEGARA BAKAL CAMPUR TANGAN DLM PASARAN?

Nilai dolar AS merosot lagi

SINGAPURA 8 Feb. - Pengukuhan tinggi nilai beberapa mata wang Asia berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini memperlihat semula kesediaan para pelabur menanggung risiko untuk memasuki pasaran rantau ini.

Peningkatan pasaran saham rantau, dicetuskan oleh pengukuhan Wall Street dan penurunan harga minyak mentah dunia menjadikan Asia berada di kedudukan baik.

Para pelabur dilihat berminat dengan cara bank-bank Asia menggunakan kombinasi mata wang kukuh dan kadar faedah tinggi pada tahun ini untuk membendung inflasi.

Ringgit Malaysia dan dolar Taiwan melonjak ke paras tertinggi sejak Oktober 1997, apabila krisis kewangan Asia menjadikan nilai mata wang di rantau ini kucar-kacir.

Won Korea Selatan yang ketinggalan dalam peningkatan mata wang Asia pada tahun lalu, turut berada pada paras tertinggi yang belum pernah dilihat sejak kehancuran Lehman Brothers pada September 2008.

Rupiah Indonesia menokok kenaikan sejak Jumaat lalu, apabila bank pusat negara itu telah meningkatkan kadar faedah dan memberi petunjuk yang mereka akan menggunakan pengukuhan mata wang tempatan untuk mengatasi inflasi yang semakin meningkat melebihi sasaran.

Rupiah telah terjejas dengan kebimbangan mengenai kemungkinan Jakarta ketinggalan dalam membendung inflasi, tetapi ia kini hampir pulih dari kerugian sejak pertengahan November.

Inflasi mula meningkat di Asia, ekoran pertumbuhan ekonomi, polisi monetari longgar dan lonjakan harga makanan dan komoditi di pasaran global.

Bank-bank pusat di rantau ini, telah meningkatkan kadar faedah dan mengambil langkah untuk menyerap kecairan yang telah mengalir ke rantau ini menyebabkan pelabur-pelabur mencari pulangan tinggi yang terdapat pada kadar faedah rendah seperti di AS dan Eropah.

Penganalisis Goldman Sachs, Fiona Lake dalam nota penyelidikannya berkata, cara akhir bagi pihak berkuasa rantau ini adalah peningkatan tukaran asing.

''Korea, Indonesia dan Taiwan telah menunjukkan minat tinggi untuk pengukuhan mata wang bagi membantu mengatasi inflasi,'' katanya.

Won perlu mengejar mata wang Asia yang kukuh sejak beberapa tahun lalu seperti dolar Singapura, ringgit Malaysia dan baht Thailand.

Pakar Ekonomi Nomura menjangkakan Bank of Korea untuk meningkatkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas berturut-turut pada Jumaat ini, selepas menambah 25 mata asas pada April dan Jun lalu, menjadikan 3.50 peratus menjelang akhir tahun ini.

Apa yang menarik lagi, AS telah meletakkan won dalam senarai mata wang yang mempunyai ruang kestabilan dan kurang campur tangan.

Jabatan Perbendaharaan, dalam laporan tukaran asing tahunnya, menyatakan perkiraan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bahawa won berada antara lima peratus hingga 20 peratus di bawah nilai.

AS akan lebih menerima manfaat dari mata wang Korea berbanding China.

Dolar telah merudum ke paras terendah sejak 13 tahun berbanding ringgit iaitu pada paras RM3.0330.

Ia adalah paras terendah berbanding semalam iaitu pada paras RM3.0360 dengan para peniaga meramalkan Bank Negara Malaysia (BNM) bakal campur tangan dalam pasaran untuk membendung peningkatan berterusan mata wang tempatan. - Agensi

No comments:

Post a Comment