Thursday, February 10, 2011

SAHAM - ECM LIBRA 'HOLD' SAHAM TM, 'BELI' SAHAM AXIATA

TM Agresif Daftar Lebih Banyak Pelanggan Unifi, Kata ECM Libra

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Telekom Malaysia (TM) semakin agresif dalam usahanya untuk menarik lebih banyak pelanggan Unifi seperti yang terbukti melalui tawaran langganan sebulan percuma kepada pelangan baharu yang mendaftar secara online dan pengecualian bayaran pemasangan bernilai RM200.

Dalam satu nota penyelidikan pada Rabu, ECM Libra berkata ia menganggap ini sebagai langkah proaktif oleh TM untuk mendapatkan lebih banyak pelanggan sebelum persaingan dalam ruang jalur lebar tetap semakin sengit dengan penyertaan Maxis tidak lama lagi.

ECM Libra juga berkata meskipun TM mempunyai sekurang-kurangnya setahun untuk mendahului pesaing-pesaingnya, ia percaya beberapa pelanggan berpotensi baharu mungkin mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum membuat keputusan sama ada memilih Unifi TM atau perkhidmatan jalur lebar tetap Maxis.

"Tempoh kontrak yang panjang selama 24 bulan bagi pelanggan Unifi mungkin juga mematahkan semangat pelanggan baharu untuk tergesa-gesa mendaftar, terutamanya memandangkan Maxis akan melancarkan perkhidmatannya tidak lama lagi.

"Oleh kerana harga saham TM telah mencapai harga sasaran RM3.80 kami, kami menurunkan saranan kami kepada 'hold' kerana kami percaya harga semasa telah mengambil kira jangkaan dividen khas dalam suku keempat tahun kewangan 2010.

"Kami mencadangkan kepada pelabur supaya beralih kepada Axiata yang merupakan pilihan utama kami dalam sektor telekomunikasi kerana ia menampakkan pertumbuhan pendapatan yang lebih tinggi di samping diniagakan pada nilaian yang rendah," katanya.


SAHAM - OSK CADANG BELI SAHAM MAYBANK PADA HARGA RM10.07

Osk Naikkan Harga Sasaran Saham TM Kepada RM3.50, kekalkan saranan "beli" bagi Maybank

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- OSK Research telah menaikkan harga sasarannya terhadap Telekom Malaysia (TM) kepada RM3.50 daripada RM3.28 dan mengekalkan saranan beli Bagi Maybank.

Ini adalah berikutan langkah menaikkan unjuran bagi tahun kewangan 2011 dan 2012 TM sebanyak 10 peratus bagi memasukkan penjimatan faedah daripada pembayaran semula hutang US$260 juta pada suku keempat 2010.

Pada akhir sesi pagi, harga saham TM meningkat 6.0 sen kepada RM3.94 walau pun FTSE Bursa Malaysia KLCI rugi 15.45 mata kepada 1,520.62.

OSK Research berkata: "harga saham TM telah meningkat berikutan jangkaan pemberian dividen khas akan datang.

"Kami tidak menolak kemungkinan TM mencatatkan lebihan tunai berikutan pelupusan sahamnya di dalam Measat dan Axiata, yang menghasilkan sehingga RM3.6 bilion berikutan tambahan RM667 juta pada suku ketiga dan keempat 2010."

TM dijangka mengumumkan keputusan suku keempat dan tahun penuh 2010 pada 25 Februari dan kemungkinan memutuskan mengenai pembayaran dividen khas selepas mengumumkan keputusannya.

OSK Research sementara itu mengekalkan saranan "beli" bagi Malayan Banking (Maybank) dengan harga sasaran RM10.07 berdasarkan kepada sumbangan keuntungan anak syarikatnya Bank Internasional Indonesia (BII) kepada kumpulan.

OSK berkata ia membiarkan unjuran pendapatannya tidak berubah buat masa sekarang sementara menunggu persidangan akan datang kumpulan yang menggesa kejelasan bagi kadar cukai efektif tinggi dan kenaikan luar biasa suku ke suku sebanyak 15 peratus dalam perbelanjaan operasi.

Pada 12.28 tengah hari ini, harga saham Maybank berada pada RM8.68.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, OSK berkata Maybank telah menetapkan sasaran tiga tahun bagi pelaburan dalam BII, untuk mendapat pulang modal berbanding kos pembiayaan yang ditanggung kumpulan dalam membeli bank tersebut.

"Menilai semata-mata daripada keputusan tahun kewangan 2010 BII yang dilaporkan, yang mencermin kos mengatasi industri, kumpulan itu mungkin memerlukan 4.5 tahun untuk mencapai sasaran ini," kata OSK.

Bagaimanapun, OSK berkata BII berkembang dengan pesat dan menambahkan rangkaian cawangannya sebanyak hampir 43 peratus dalam tempoh setahun setengah akan datang.

Ia juga berkata leveraj operasi akan mula mengalir daripada langkah pengembangan itu.

"Ini akan membantu menurunkan kos berbanding nisbah pendapatan, lebih hampir kepada purata industri," kata firma itu.

-- BERNAMA


RINGGIT - ALL EYES TO CHINA'S ECONOMY

China naikkan kadar yuan ke paras tertinggi

SINGAPURA 9 Feb. - Bank Pusat China telah menetapkan kadar pertukaran mata wang yuan pada paras tertinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) selepas beberapa jam menaikkan kadar faedah bagi meredakan peningkatan ekonomi negara itu.

Kenaikan kadar faedah itu dijangka diikuti oleh pihak berkuasa lain di Asia untuk mengurangkan tekanan inflasi yang tinggi.

Bank Pusat di Korea Selatan dan Malaysia, sekali lagi menjual mata wang masing-masing untuk membeli dolar dalam usaha mengurangkan kenaikan nilai mata wang tempatan secara terlalu mendadak, kata para peniaga.

Menurut mereka, langkah itu dibuat secara teliti supaya tidak menjejaskan kegiatan eksport barangan perdagangan masing-masing yang penting kepada pertumbuhan ekonomi serantau.

The People Bank of China (PBOC) telah menetapkan kadar setara bagi dolar kepada CNY6.5850, lebih rendah berbanding CNY6.5938 bagi pasaran di kaunter dan penetapan kadar pada CNY6.5860.

Pasaran China telah tutup sejak sambutan Tahun Baru Cina.

Mata wang yuan kini meningkat sebanyak 3.7 peratus sejak berakhirnya tambatan mata wang China itu berbanding dolar sejak dua tahun lalu pada pertengahan Jun lalu.

Mata wang-mata wang Asia lain, mencatatkan keuntungan yang sederhana tahun ini telah mencatatkan kenaikan hari ini.

China kini memainkan peranan besar dalam ekonomi serantau dan Asia sedang melihat polisi pertukaran asing untuk memastikan mata wang mereka tidak meningkat secara mendadak kerana akan mengakibatkan pengeksport menjadi tidak kompetitif.

Mata wang dolar susut berbanding dolar Taiwan dalam tempoh 13 tahun dan jatuh berbanding baht Thai. Ia juga rendah berbanding won Korea walaupun Bank of Korea dikatakan telah membeli dolar.

Berbanding ringgit Malaysia, mata wang AS mencatat kestabilan semalam apabila ditutup pada kadar RM3.0330 setelah dikatakan disokong oleh Bank Negara Malaysia.

''Kenaikan kadar faedah oleh China sepatutnya baik untuk mata wang Asia tetapi ringgit tidak naik kerana BNM menetapkan kedudukan ringgit pada RM3.0330,'' kata seorang peniaga.

PBOC meningkatkan kadar pinjaman dan deposit dengan 25 mata asas semalam, masing-masing kepada 6.06 peratus dan 3.0 peratus. Ia merupakan kenaikan ketiga sejak Oktober.

Ia juga meningkatkan nisbah deposit yang menyebabkan bank-bank perlu menyimpan rizab sebanyak tujuh kali.

Kadar inflasi meningkat di rantau ini disebabkan oleh pertumbuhan pantas ekonomi dan kenaikan harga makanan dan komoditi.

Di China, harga pengguna juga dijangka meningkat pada suku pertama oleh permintaan kukuh pada hari cuti dan cuaca buruk.

PBOC telah menetapkan kadar setara harian bagi yuan, membolehkan pengurusan mata wang tempatan meningkat kepada 0.5 peratus atau sebaliknya. Yuan/ringgit dan yuan/ruble boleh meningkat sehingga lima peratus dan mata wang-mata wang lain lain dibenarkan naik sehingga tiga peratus. -Dowjones

Wednesday, February 9, 2011

SAHAM - BANK RAKYAT KELUARKAN SAHAM BARU?

Sudah setahun Bank Rakyat menunggu

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) masih lagi menunggu kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) terhadap permohonannya untuk meningkatkan modal berbayarnya selepas setahun mengemukakannya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya menaruh harapan BNM akan menyegerakan pertimbangan itu.

''Mesyuarat agung telah meluluskan cadangan untuk menambah modal berbayar, cuma kita masih lagi menantikan keputusan BNM,'' katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pelancaran Kad Debit-iBank Rakyat di sini hari ini.

Bank Rakyat dipercayai telah menghantar permohonan itu kepada BNM bagi meningkatkan modal berbayar sebanyak RM500 juta pada 2009.

Penambahan itu akan meningkatkan modal berbayar Bank Rakyat kepada RM2.5 bilion.

Ismail Sabri berkata, peningkatan modal berbayar itu adalah seiring dengan keperluan semasa bank koperasi itu.

Menurut beliau, pada masa sekarang ramai yang berebut-rebut untuk menganggotai keahlian bank sehinggakan sanggup menunggu jika dibandingkan pada masa sebelumnya.

Ketika diminta mengulas mengenai senarai menunggu itu, Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Kamaruzaman Che Mat berkata: ''Ramai sangat, memang ramai''.

Keupayaan Bank Rakyat menawarkan dividen tinggi sehingga 15 peratus menyebabkan terdapat banyak permintaan untuk memiliki atau menambah pegangan bank tersebut

Sebelum ini, Kamaruzaman pernah memberitahu Utusan Malaysia, senarai menunggu untuk menganggotai Bank Rakyat mencecah 50,000 orang.

Katanya, jumlah itu mewakili nilai pegangan kepentingan sebanyak RM1 bilion.

Sekiranya BNM membenarkan penambahan modal berbayar itu, ia merupakan kali keempat bank tersebut berbuat demikian.

Bank Rakyat pada asalnya beroperasi dengan modal berbayar RM500 juta, sebelum dinaikkan kepada RM1.5 bilion dan akhirnya RM2 bilion.

RINGGIT - 1USD BERSAMAAN RM3.032

Ringgit terus teguh

KUALA LUMPUR 8 Feb - Ringgit mencecah ketinggian baru pada penutup hari ini didorong jangkaan bahawa bank-bank pusat Asia meningkatkan kadar faedah, kata peniaga.

Ringgit ditutup pada 3.0320/0350 berbanding dolar AS, melebihi penutup semalam iaitu 3.0360/0390. Ketua penyelidikan runcit Affin Investment Bank, Dr Nazri Khan, berkata unjuran bagi ringgit kekal bulis, disokong oleh prestasi positif ekonomi domestik.

"Saya rasa ringgit boleh mencecah paras psikologi 3.00 menjelang akhir bulan ini. Terdapat jangkaan Bank Negara Malaysia mungkin akan mengikut langkah bank pusat Indonesia menaikkan kadar," katanya kepada Bernama.

Nazri berkata ringgit diunjurkan mencecah 2.8 menjelang hujung tahun ini.Sementara itu, ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding lain-lain mata wang.

Ia ditutup lebih rendah berbanding dolar Singapura pada 2.3810/3853 daripada 2.3799/3841 semalam dan menyusut berbanding yen Jepun kepada 3.6944/7003 daripada 3.6863/6908.

Ia meningkat berbanding pound British kepada 4.8870/8927 daripada penutup semalam pada 4.9077/9135 dan naik berbanding euro kepada 4.1305/1355 daripada 4.1320/1367 sebelum ini.- Bernama

RINGGIT - BANK NEGARA BAKAL CAMPUR TANGAN DLM PASARAN?

Nilai dolar AS merosot lagi

SINGAPURA 8 Feb. - Pengukuhan tinggi nilai beberapa mata wang Asia berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini memperlihat semula kesediaan para pelabur menanggung risiko untuk memasuki pasaran rantau ini.

Peningkatan pasaran saham rantau, dicetuskan oleh pengukuhan Wall Street dan penurunan harga minyak mentah dunia menjadikan Asia berada di kedudukan baik.

Para pelabur dilihat berminat dengan cara bank-bank Asia menggunakan kombinasi mata wang kukuh dan kadar faedah tinggi pada tahun ini untuk membendung inflasi.

Ringgit Malaysia dan dolar Taiwan melonjak ke paras tertinggi sejak Oktober 1997, apabila krisis kewangan Asia menjadikan nilai mata wang di rantau ini kucar-kacir.

Won Korea Selatan yang ketinggalan dalam peningkatan mata wang Asia pada tahun lalu, turut berada pada paras tertinggi yang belum pernah dilihat sejak kehancuran Lehman Brothers pada September 2008.

Rupiah Indonesia menokok kenaikan sejak Jumaat lalu, apabila bank pusat negara itu telah meningkatkan kadar faedah dan memberi petunjuk yang mereka akan menggunakan pengukuhan mata wang tempatan untuk mengatasi inflasi yang semakin meningkat melebihi sasaran.

Rupiah telah terjejas dengan kebimbangan mengenai kemungkinan Jakarta ketinggalan dalam membendung inflasi, tetapi ia kini hampir pulih dari kerugian sejak pertengahan November.

Inflasi mula meningkat di Asia, ekoran pertumbuhan ekonomi, polisi monetari longgar dan lonjakan harga makanan dan komoditi di pasaran global.

Bank-bank pusat di rantau ini, telah meningkatkan kadar faedah dan mengambil langkah untuk menyerap kecairan yang telah mengalir ke rantau ini menyebabkan pelabur-pelabur mencari pulangan tinggi yang terdapat pada kadar faedah rendah seperti di AS dan Eropah.

Penganalisis Goldman Sachs, Fiona Lake dalam nota penyelidikannya berkata, cara akhir bagi pihak berkuasa rantau ini adalah peningkatan tukaran asing.

''Korea, Indonesia dan Taiwan telah menunjukkan minat tinggi untuk pengukuhan mata wang bagi membantu mengatasi inflasi,'' katanya.

Won perlu mengejar mata wang Asia yang kukuh sejak beberapa tahun lalu seperti dolar Singapura, ringgit Malaysia dan baht Thailand.

Pakar Ekonomi Nomura menjangkakan Bank of Korea untuk meningkatkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas berturut-turut pada Jumaat ini, selepas menambah 25 mata asas pada April dan Jun lalu, menjadikan 3.50 peratus menjelang akhir tahun ini.

Apa yang menarik lagi, AS telah meletakkan won dalam senarai mata wang yang mempunyai ruang kestabilan dan kurang campur tangan.

Jabatan Perbendaharaan, dalam laporan tukaran asing tahunnya, menyatakan perkiraan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bahawa won berada antara lima peratus hingga 20 peratus di bawah nilai.

AS akan lebih menerima manfaat dari mata wang Korea berbanding China.

Dolar telah merudum ke paras terendah sejak 13 tahun berbanding ringgit iaitu pada paras RM3.0330.

Ia adalah paras terendah berbanding semalam iaitu pada paras RM3.0360 dengan para peniaga meramalkan Bank Negara Malaysia (BNM) bakal campur tangan dalam pasaran untuk membendung peningkatan berterusan mata wang tempatan. - Agensi

PETROLEUM - CADANGAN HARGA MINYAK RON97 IKUT HARGA PASARAN SEMASA

Harga minyak lebih bebas?

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Kerajaan bersedia mengubah mekanisme penentuan harga minyak petrol RON97 kepada apungan bebas sekiranya wakil-wakil penjual minyak tempatan mahu melaksanakannya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pada masa sekarang penentuan harga RON97 ditentukan secara apungan terkawal, yang mana pengiraannya dibuat mulai 1 hingga 27 hari bulan bagi setiap bulan.

Sebagai contoh, beliau berkata, kenaikan harga RON97 pada awal Februari ini dibuat berdasarkan kenaikan harga pasaran minyak dunia pada Januari lalu.

''Penentuan kenaikan harga RON97 baru-baru ini dibuat selepas kita memantau pergerakan harga minyak global mulai 1 Januari hingga 27 Januari lalu.

''Dalam pemantauan tersebut, kita mendapati secara purata berlaku trend kenaikan dan sebab itu RON97 dinaikkan,'' katanya semasa sidang akhbar selepas merasmikan pelancaran kad debit-iBank Rakyat di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata demikian ketika ditanya mengenai kenaikan harga RON97 sedangkan pada masa sama harga minyak petrol Brent sudah mula menyusut.

Harga minyak Brent sekarang pada sekitar AS$99.22 (RM302.62) setong, lebih rendah berbanding RM105 (RM320) setong pada akhir bulan lalu.

Beliau menjelaskan, memandangkan RON97 diukur mengikut pasaran dunia, harga minyak itu akan diturunkan sekiranya harga minyak kembali stabil.

''Harga RON97 akan dinaikkan jika harga minyak dunia meningkat dan kalau harga turun, kerajaan akan menurunkannya,'' tambah beliau.

Setakat hari ini, Ismail Sabri berkata, penentuan RON97 akan dibuat secara bulanan.

Beliau berkata, di luar negara penentuan harga minyak petrol itu dibuat secara harian (apungan bebas) dan oleh sebab itu harga minyak di negara terbabit berubah setiap hari.

''Kalau wakil penjual mahu menjual seperti itu, kita bersedia mengubahnya.

''Bagaimanapun, bagi kerajaan penentuan secara bulanan lebih mudah,'' ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau menafikan dakwaan kenaikan harga makanan di Malaysia disebabkan pelaksanaan pengurangan subsidi seperti yang dicetuskan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu).

Sebaliknya, Ismail Sabri berkata, masalah kenaikan harga barangan makanan disebabkan oleh peningkatan permintaan berbanding penawaran.

''Masalah ini bukan masalah Malaysia sahaja tetapi dunia turut menanggungnya.

''Ia disebabkan malapetaka berlaku di mana-mana sahaja menyebabkan pengeluaran makanan semakin terhad,'' ujar beliau.

Malah, beliau turut mengaitkan kenaikan harga barangan makanan disebabkan ketidakseimbangan pertumbuhan antara pengeluaran hasil dengan populasi penduduk dunia.

Katanya, pertumbuhan pengeluaran makanan hanya dua peratus tetapi pertambahan penduduk pula empat peratus.