Wednesday, February 9, 2011

SAHAM - BANK RAKYAT KELUARKAN SAHAM BARU?

Sudah setahun Bank Rakyat menunggu

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) masih lagi menunggu kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) terhadap permohonannya untuk meningkatkan modal berbayarnya selepas setahun mengemukakannya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya menaruh harapan BNM akan menyegerakan pertimbangan itu.

''Mesyuarat agung telah meluluskan cadangan untuk menambah modal berbayar, cuma kita masih lagi menantikan keputusan BNM,'' katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pelancaran Kad Debit-iBank Rakyat di sini hari ini.

Bank Rakyat dipercayai telah menghantar permohonan itu kepada BNM bagi meningkatkan modal berbayar sebanyak RM500 juta pada 2009.

Penambahan itu akan meningkatkan modal berbayar Bank Rakyat kepada RM2.5 bilion.

Ismail Sabri berkata, peningkatan modal berbayar itu adalah seiring dengan keperluan semasa bank koperasi itu.

Menurut beliau, pada masa sekarang ramai yang berebut-rebut untuk menganggotai keahlian bank sehinggakan sanggup menunggu jika dibandingkan pada masa sebelumnya.

Ketika diminta mengulas mengenai senarai menunggu itu, Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Kamaruzaman Che Mat berkata: ''Ramai sangat, memang ramai''.

Keupayaan Bank Rakyat menawarkan dividen tinggi sehingga 15 peratus menyebabkan terdapat banyak permintaan untuk memiliki atau menambah pegangan bank tersebut

Sebelum ini, Kamaruzaman pernah memberitahu Utusan Malaysia, senarai menunggu untuk menganggotai Bank Rakyat mencecah 50,000 orang.

Katanya, jumlah itu mewakili nilai pegangan kepentingan sebanyak RM1 bilion.

Sekiranya BNM membenarkan penambahan modal berbayar itu, ia merupakan kali keempat bank tersebut berbuat demikian.

Bank Rakyat pada asalnya beroperasi dengan modal berbayar RM500 juta, sebelum dinaikkan kepada RM1.5 bilion dan akhirnya RM2 bilion.

No comments:

Post a Comment