Wednesday, February 9, 2011

SAHAM - BANK RAKYAT KELUARKAN SAHAM BARU?

Sudah setahun Bank Rakyat menunggu

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) masih lagi menunggu kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) terhadap permohonannya untuk meningkatkan modal berbayarnya selepas setahun mengemukakannya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya menaruh harapan BNM akan menyegerakan pertimbangan itu.

''Mesyuarat agung telah meluluskan cadangan untuk menambah modal berbayar, cuma kita masih lagi menantikan keputusan BNM,'' katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pelancaran Kad Debit-iBank Rakyat di sini hari ini.

Bank Rakyat dipercayai telah menghantar permohonan itu kepada BNM bagi meningkatkan modal berbayar sebanyak RM500 juta pada 2009.

Penambahan itu akan meningkatkan modal berbayar Bank Rakyat kepada RM2.5 bilion.

Ismail Sabri berkata, peningkatan modal berbayar itu adalah seiring dengan keperluan semasa bank koperasi itu.

Menurut beliau, pada masa sekarang ramai yang berebut-rebut untuk menganggotai keahlian bank sehinggakan sanggup menunggu jika dibandingkan pada masa sebelumnya.

Ketika diminta mengulas mengenai senarai menunggu itu, Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Kamaruzaman Che Mat berkata: ''Ramai sangat, memang ramai''.

Keupayaan Bank Rakyat menawarkan dividen tinggi sehingga 15 peratus menyebabkan terdapat banyak permintaan untuk memiliki atau menambah pegangan bank tersebut

Sebelum ini, Kamaruzaman pernah memberitahu Utusan Malaysia, senarai menunggu untuk menganggotai Bank Rakyat mencecah 50,000 orang.

Katanya, jumlah itu mewakili nilai pegangan kepentingan sebanyak RM1 bilion.

Sekiranya BNM membenarkan penambahan modal berbayar itu, ia merupakan kali keempat bank tersebut berbuat demikian.

Bank Rakyat pada asalnya beroperasi dengan modal berbayar RM500 juta, sebelum dinaikkan kepada RM1.5 bilion dan akhirnya RM2 bilion.

RINGGIT - 1USD BERSAMAAN RM3.032

Ringgit terus teguh

KUALA LUMPUR 8 Feb - Ringgit mencecah ketinggian baru pada penutup hari ini didorong jangkaan bahawa bank-bank pusat Asia meningkatkan kadar faedah, kata peniaga.

Ringgit ditutup pada 3.0320/0350 berbanding dolar AS, melebihi penutup semalam iaitu 3.0360/0390. Ketua penyelidikan runcit Affin Investment Bank, Dr Nazri Khan, berkata unjuran bagi ringgit kekal bulis, disokong oleh prestasi positif ekonomi domestik.

"Saya rasa ringgit boleh mencecah paras psikologi 3.00 menjelang akhir bulan ini. Terdapat jangkaan Bank Negara Malaysia mungkin akan mengikut langkah bank pusat Indonesia menaikkan kadar," katanya kepada Bernama.

Nazri berkata ringgit diunjurkan mencecah 2.8 menjelang hujung tahun ini.Sementara itu, ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding lain-lain mata wang.

Ia ditutup lebih rendah berbanding dolar Singapura pada 2.3810/3853 daripada 2.3799/3841 semalam dan menyusut berbanding yen Jepun kepada 3.6944/7003 daripada 3.6863/6908.

Ia meningkat berbanding pound British kepada 4.8870/8927 daripada penutup semalam pada 4.9077/9135 dan naik berbanding euro kepada 4.1305/1355 daripada 4.1320/1367 sebelum ini.- Bernama

RINGGIT - BANK NEGARA BAKAL CAMPUR TANGAN DLM PASARAN?

Nilai dolar AS merosot lagi

SINGAPURA 8 Feb. - Pengukuhan tinggi nilai beberapa mata wang Asia berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini memperlihat semula kesediaan para pelabur menanggung risiko untuk memasuki pasaran rantau ini.

Peningkatan pasaran saham rantau, dicetuskan oleh pengukuhan Wall Street dan penurunan harga minyak mentah dunia menjadikan Asia berada di kedudukan baik.

Para pelabur dilihat berminat dengan cara bank-bank Asia menggunakan kombinasi mata wang kukuh dan kadar faedah tinggi pada tahun ini untuk membendung inflasi.

Ringgit Malaysia dan dolar Taiwan melonjak ke paras tertinggi sejak Oktober 1997, apabila krisis kewangan Asia menjadikan nilai mata wang di rantau ini kucar-kacir.

Won Korea Selatan yang ketinggalan dalam peningkatan mata wang Asia pada tahun lalu, turut berada pada paras tertinggi yang belum pernah dilihat sejak kehancuran Lehman Brothers pada September 2008.

Rupiah Indonesia menokok kenaikan sejak Jumaat lalu, apabila bank pusat negara itu telah meningkatkan kadar faedah dan memberi petunjuk yang mereka akan menggunakan pengukuhan mata wang tempatan untuk mengatasi inflasi yang semakin meningkat melebihi sasaran.

Rupiah telah terjejas dengan kebimbangan mengenai kemungkinan Jakarta ketinggalan dalam membendung inflasi, tetapi ia kini hampir pulih dari kerugian sejak pertengahan November.

Inflasi mula meningkat di Asia, ekoran pertumbuhan ekonomi, polisi monetari longgar dan lonjakan harga makanan dan komoditi di pasaran global.

Bank-bank pusat di rantau ini, telah meningkatkan kadar faedah dan mengambil langkah untuk menyerap kecairan yang telah mengalir ke rantau ini menyebabkan pelabur-pelabur mencari pulangan tinggi yang terdapat pada kadar faedah rendah seperti di AS dan Eropah.

Penganalisis Goldman Sachs, Fiona Lake dalam nota penyelidikannya berkata, cara akhir bagi pihak berkuasa rantau ini adalah peningkatan tukaran asing.

''Korea, Indonesia dan Taiwan telah menunjukkan minat tinggi untuk pengukuhan mata wang bagi membantu mengatasi inflasi,'' katanya.

Won perlu mengejar mata wang Asia yang kukuh sejak beberapa tahun lalu seperti dolar Singapura, ringgit Malaysia dan baht Thailand.

Pakar Ekonomi Nomura menjangkakan Bank of Korea untuk meningkatkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas berturut-turut pada Jumaat ini, selepas menambah 25 mata asas pada April dan Jun lalu, menjadikan 3.50 peratus menjelang akhir tahun ini.

Apa yang menarik lagi, AS telah meletakkan won dalam senarai mata wang yang mempunyai ruang kestabilan dan kurang campur tangan.

Jabatan Perbendaharaan, dalam laporan tukaran asing tahunnya, menyatakan perkiraan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bahawa won berada antara lima peratus hingga 20 peratus di bawah nilai.

AS akan lebih menerima manfaat dari mata wang Korea berbanding China.

Dolar telah merudum ke paras terendah sejak 13 tahun berbanding ringgit iaitu pada paras RM3.0330.

Ia adalah paras terendah berbanding semalam iaitu pada paras RM3.0360 dengan para peniaga meramalkan Bank Negara Malaysia (BNM) bakal campur tangan dalam pasaran untuk membendung peningkatan berterusan mata wang tempatan. - Agensi

PETROLEUM - CADANGAN HARGA MINYAK RON97 IKUT HARGA PASARAN SEMASA

Harga minyak lebih bebas?

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Kerajaan bersedia mengubah mekanisme penentuan harga minyak petrol RON97 kepada apungan bebas sekiranya wakil-wakil penjual minyak tempatan mahu melaksanakannya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pada masa sekarang penentuan harga RON97 ditentukan secara apungan terkawal, yang mana pengiraannya dibuat mulai 1 hingga 27 hari bulan bagi setiap bulan.

Sebagai contoh, beliau berkata, kenaikan harga RON97 pada awal Februari ini dibuat berdasarkan kenaikan harga pasaran minyak dunia pada Januari lalu.

''Penentuan kenaikan harga RON97 baru-baru ini dibuat selepas kita memantau pergerakan harga minyak global mulai 1 Januari hingga 27 Januari lalu.

''Dalam pemantauan tersebut, kita mendapati secara purata berlaku trend kenaikan dan sebab itu RON97 dinaikkan,'' katanya semasa sidang akhbar selepas merasmikan pelancaran kad debit-iBank Rakyat di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata demikian ketika ditanya mengenai kenaikan harga RON97 sedangkan pada masa sama harga minyak petrol Brent sudah mula menyusut.

Harga minyak Brent sekarang pada sekitar AS$99.22 (RM302.62) setong, lebih rendah berbanding RM105 (RM320) setong pada akhir bulan lalu.

Beliau menjelaskan, memandangkan RON97 diukur mengikut pasaran dunia, harga minyak itu akan diturunkan sekiranya harga minyak kembali stabil.

''Harga RON97 akan dinaikkan jika harga minyak dunia meningkat dan kalau harga turun, kerajaan akan menurunkannya,'' tambah beliau.

Setakat hari ini, Ismail Sabri berkata, penentuan RON97 akan dibuat secara bulanan.

Beliau berkata, di luar negara penentuan harga minyak petrol itu dibuat secara harian (apungan bebas) dan oleh sebab itu harga minyak di negara terbabit berubah setiap hari.

''Kalau wakil penjual mahu menjual seperti itu, kita bersedia mengubahnya.

''Bagaimanapun, bagi kerajaan penentuan secara bulanan lebih mudah,'' ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau menafikan dakwaan kenaikan harga makanan di Malaysia disebabkan pelaksanaan pengurangan subsidi seperti yang dicetuskan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu).

Sebaliknya, Ismail Sabri berkata, masalah kenaikan harga barangan makanan disebabkan oleh peningkatan permintaan berbanding penawaran.

''Masalah ini bukan masalah Malaysia sahaja tetapi dunia turut menanggungnya.

''Ia disebabkan malapetaka berlaku di mana-mana sahaja menyebabkan pengeluaran makanan semakin terhad,'' ujar beliau.

Malah, beliau turut mengaitkan kenaikan harga barangan makanan disebabkan ketidakseimbangan pertumbuhan antara pengeluaran hasil dengan populasi penduduk dunia.

Katanya, pertumbuhan pengeluaran makanan hanya dua peratus tetapi pertambahan penduduk pula empat peratus.

Tuesday, February 8, 2011

RINGGIT - JANGKAAN 1USD=RM3 SUKU PERTAMA 2011

Ringgit Dijangka Cecah 3.00 Berbanding Dolar AS Menjelang Suku Pertama

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Ringgit, yang mencecah paras tinggi baharu dalam tempoh 13 tahun pada 3.0345 dalam urus niaga seharian Isnin, dijangka mencecah 3.00 berbanding dolar AS menjelang suku pertama tahun ini.

Ia disokong oleh spekulasi yang bank-bank pusat Asia mungkin menaikkan kadar faedah bagi mengekang tekanan inflasi dan juga permintaan yang berterusan untuk mata wang tempatan.

"Kami menjangka yang ringgit akan lambat laun mencecah 3.00 berbanding dolar dalam tempoh beberapa minggu ini, mungkin menjelang suku pertama tahun ini. Paras akan datang yang kami jangka dicecah ialah RM3.025," kata seorang peniaga mata wang kepada Bernama di sini Isnin.

Indonesia hari ini menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas sebagai sebahagian daripada usahanya menangani tekanan inflasi.

Menurut UOB Economic Treasury Research, bank-bank pusat Filipina dan Korea Selatan kemungkinan mengumumkan keputusan kadar faedah mereka, masing-masing pada hari Khamis dan Jumaat ini.

Filipina dijangka mengekalkan kadar faedahnya kukuh pada empat peratus sementara Korea Selatan mungkin menaikkan kadar sebanyak 25 mata asas kepada tiga peratus, katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

Sejak bermulanya tahun ini, ringgit telah meningkat 1.3 peratus dan dilaporkan sebagai penyerlahkan prestasi ketiga terbaik di Asia selepas dolar Taiwan dan won Korea Selatan.

Seorang peniaga lain pula berkata yang krisis berpanjangan di Mesir akan terus memberikan impak kepada dolar AS.

Pada penutup hari ini, ringgit mengakhiri urus niaga pada 3.0360/0390 berbanding dolar AS.


RINGGIT - 1USD BERSAMAAN RM3.0360

Ringgit catat rekod

KUALA LUMPUR 7 Feb - Ringgit ditutup pada paras ketinggian terbaharu tempoh 13 tahun pada paras 3.0360 berbanding dolar US hari ini selepas melepasi paras krisis pra ekonomi 1997 3.041 berikutan permintaan komersial yang kukuh mendapatkan mata wang tempatan itu, kata para peniaga.

Sehingga jam 5 petang, ringgit diniagakan pada paras 3.0360/0390 bagi setiap dolar berbanding dengan penutup 3.0420/0450 pada Rabu.Ringgit didagangan mencecah setinggi 3.0345 dan mencatatkan paras terendah harian 3.0430.

Seorang peniaga memberitahu Bernama bahawa jualan besar-besaran dolar US berikutan sentimen lemah telah mengubah sesetengah minat para pelabur asing untuk membeli lebih banyak mata wang asing Asia, yang termasuk ringgit serta aset yang berisiko.

Seorang peniaga berkata dolar US kemungkinan berhadapan tekanan lebih lanjut jika krisis di Egypt, yang dilihat sebagai sekutu AS terkuat di dunia Arab, berterusan. Ringgit juga dicatatkan lebih kukuh berbanding mata wang utama yang lain.

Ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding dolar Singapura kepada 2.3799/3841 berbanding dengan 2.3898/3926 pada Rabu dan meningkat berbanding yen kepada 3.6863/6908 daripada 3.7366/7408 sebelum ini.

Ia meningkat berbanding pound British kepada 4.9077/9135 daripada 4.9238/9289 dan meningkat berbanding euro kepada 4.1320/1367 daripada 4.2074/2127.


GETAH - GAJI PENOREH GETAH LAGI TINGGI DARI STAF KERAJAAN..

Penoreh raih RM8,000 sebulan

KUALA TERENGGANU - Dengan hanya bekerja tiga hari seminggu, seorang penoreh getah di negara ini mampu meraih pendapatan di antara RM3,000 hingga RM8,000 sebulan.

Malah, kebanyakan penoreh getah yang ditemui mengakui pendapatan mereka sejak kebelakangan ini jauh lebih besar berbanding gaji sesetengah kakitangan kerajaan.

Seorang penoreh, Wan Alias Wan Muda, 37, dari Felda Belara dekat sini berkata, cuaca yang baik sejak sebulan lalu memberi peluang kepada penoreh getah sepertinya untuk meraih pendapatan tiga kali ganda lebih banyak berbanding sebelum ini.

Menurutnya, dengan harga getah di pasaran mencecah sehingga RM8 sekilogram, dia mampu meraih pendapatan bersih kira-kira RM3,500 sebulan.

"Kalau orang nak tanya berapa pendapatan saya sebulan, saya hanya boleh jawab pendapatan saya lebih besar daripada guru," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.