Monday, January 31, 2011

PETROLEUM - HARGA MINYAK DUNIA MENGHAMPIRI AS$100 SETONG

Harga minyak tiada kesan ketara - Penganalisis

KUALA LUMPUR 30 Jan. - Kenaikan harga minyak dunia dijangka tidak memberi kesan ketara kepada Malaysia selagi nilai mata wang ringgit terus meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Penganalisis dan Ketua Penyelidik Jupiter Securities, Pong Teng Siew berkata, meskipun begitu, kenaikan harga minyak bakal menjejaskan pasaran eksport memandangkan pemulihan negara-negara maju terjejas akibat kenaikan harga minyak.

Menurut beliau, jumlah eksport AS kini menyusut dengan mendadak disebabkan tumpuan negara itu lebih kepada minyak berbanding barangan lain.

Jelasnya, senario yang berlaku itu mengakibatkan negara-negara perdagangan seperti Malaysia turut terjejas.

Bagaimanapun, katanya, di Malaysia antara perkara yang menjadi kebimbangan apabila kenaikan harga minyak ialah kenaikan inflasi dan dan kenaikan harga barangan makanan.

''Sebenarnya masalah ini sedang dirasai oleh rakyat Malaysia. Barangan semakin mahal dan menyebabkan kuasa membeli kita semakin terhad.

''Lebih teruk lagi pendapatan boleh guna juga kian merosot dan ini memang membimbangkan kerana rakyat Malaysia semakin miskin'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai trend kenaikan dunia yang semakin pantas sejak kebelakang ini.

Harga minyak dunia mula mencatatkan kenaikan pada penghujung 2010 pada sekitar AS$90 (RM274.5) setong.

Para penganalisis menjangkakan harga emas hitam itu boleh mencapai paras AS$100 (RM305) hingga AS$110 (RM335.50) setong pada tahun ini.

Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC) juga sudah memberi petunjuk akan menyokong kenaikan harga minyak pada tahun ini.

Malah, wakil Iran di OPEC, Mohammad Ali Khatibi menaruh harapan harga minyak meningkat AS$100 setong tidak lama lagi.

Teng Siew menambah, situasi semasa semakin menjejaskan pendapatan rakyat disebabkan harga komoditi yang lain meningkat lebih pantas daripada harga minyak.

Menurut beliau, sebenarnya hampir seluruh dunia mengalami masalah yang sama kerana ia berlaku akibat tindakan AS mencetak wang berlebihan.

''Dolar AS sekarang melimpah-ruah di seluruh dunia tetapi bukan melalui perdagangan sebaliknya di pasaran kewangan. Itulah yang menjadi kebimbangan,'' ujar beliau.

Ditanya adakah kenaikan harga minyak dunia akan memberi kepada harga minyak di Malaysia, beliau berkata: ''Rakyat tidak boleh selama-lamanya mengharapkan subsidi daripada kerajaan kerana ia boleh mengakibatkan hutang negara meningkat.''

Teng Siew menambah, Malaysia akan 'dihukum' melalui penarafan bon sekiranya hutang terus meningkat seperti yang dialami oleh Ireland, Greek dan Portugis

Bagaimanapun, di Malaysia, para pengguna masih mempunyai pilihan untuk menggunakan RON95 dan RON97.

Mengulas mengenai langkah AS mencetak dolar AS, beliau berkata, kuasa besar itu memang sengaja berbuat demikian untuk memulihkan semula ekonominya yang runtuh.

Limpahan wang itu akan menyebabkan negara itu mengalami inflasi yang tinggi dan di sebalik keadaan tersebut, kerajaan AS bakal menjana lebihan pendapatan daripada keuntungan korporat dan bank melalui pelbagai cukai.

''Dalam keadaan sekarang tidak banyak perkara boleh dilakukan kecuali berharap AS menghentikan pendekatan tersebut semata-mata untuk memulihkan negaranya,'' tambah Teng Siew.

No comments:

Post a Comment